Popular Posts

INSAN HEBAT: RABI'ATUL ADAWIYAH



Nama wanita ini tidaklah membawa apa-apa makna yang agung. Rabi’ah; bermaksud yang keempat. Namun, insan ini sungguh istimewa kerana Rabi’ah adalah satu-satunya wanita yang sampai ke peringkat wali Allah. Mari kita ikuti jejak-jejak hidup Rabi’ah serba sedikit.
___________________________________________________________


Kecerdikan, ketakwaan dan ketaatan Rabi’ah telah menonjol sejak kecil lagi. Rabi’ah telah menghafaz Al-Quran sejak berusia 10 tahun. Ketika Rabi’ah sekeluarga makan, sebelum Rabi’ah menyuapkan makanan, Rabiah berkata kepada bapanya, Ismail :

Rabi’ah : Abah, yang haram tidak akan menjadi halal, hanya kerana abah merasa wajib memberi kami makan.

Ismail : Rabi’ah, apa pendapatmu sekiranya abah tidak mendapat makanan kecuali yang haram?

Rabi’ah : Kita mesti banyak bersabar, abah. Kerana menahan lapar di dunia jauh lebih baik daripada sabar menanggung seksa api neraka di akhirat.
___________________________________________________________


Apabila dewasa, cinta Rabi’ah terhadap Penciptanya semakin membara. Setiap degup jantung dan gerak bibirnya tidak pernah alpa daripada berzikir dan tasbih kepada Allah, kekasihnya. Malam-malamnya berlalu tanpa tidur. Rabi’ah berlumba-lumba dengan para malaikat dalam taat dan ibadat. Apabila pagi sudah sampai, ia merasa dirinya sudah kalah, ia merasa dirinya belum cukup dalam ibadat dan ketaatan. Ketika malam menjelang, hatinya sangat gembira kerana ia yakin ketika ini nikmat akan datang kepadanya, yakni nikmat kebesaran Allah yang dikutipnya ketika semua orang sedang tidur nyenyak, ketika semua makhluk menutup kelopak mata mereka rapat-rapat. Maka tidak hairanlah apabila setiap hari dan malamnya ia melakukan solat sekurang-kurangnya seribu rakaat. Seseorang bertanya kepada Rabi’ah :

Si polan : Balasan apakah yang engkau inginkan daripada ibadatmu ini, wahai Rabi’ah?

Rabi’ah : Saya tidak menginginkan balasan apa-apa. Tapi saya ingin menggembirakan Rasulullah nanti pada hari kiamat, iaitu mengatakan pada para nabi, “Lihatlah, inilah amalan seorang wanita daripada umatku!”
___________________________________________________________


Cita-cita Rabi’ah yang paling tinggi ialah berjumpa dengan kekasih hatinya, yakni dapat melihat wajah Allah. Puncak kebahagiaan seorang pencinta ialah bertemu dengan kekasihnya. Pertemuan antara hamba dengan khaliknya merupakan kesenangan yang melebihi kesenangan yang lain. Rabi’ah bukan sahaja terkenal di bumi, malah sangat popular dalam kalangan para malaikat di langit.

Pada suatu malam, keluarlah kata-kata indah yang dihadapkan kepada Tuhannya :

“Tuhanku, bintang-bintang masih memancarkan cahaya, seluruh mata sedang tidur lena, raja-raja sudah pun menutup pintu istananya dan para suami sudah pun berasmara dengan isterinya. Sedangkan aku sekarang sedang berdiri tegak di hadapanMu.”

Keesokan pagi, selesai solat Subuh, Rabi’ah sekali lagi bermunajat kepada Allah :

“Tuhanku, kini malam telah berakhir dan siang sudah bermula. Engkau terimakah malamku(ibadat malam tadi)? Jika Engkau menerimanya, aku sangat bahagia. Jika Engkau menolaknya, aku akan bersabar. Aku akan terus bersungguh-sungguh menghadapkan diriku kepadaMu selagi Engkau masih memberi hidup untukku. Aku akan mendatangiMu dan sentiasa berusaha supaya aku sampai di pintuMu. Sekiranya Engkau mengusir dan menghalau aku, aku tidak akan meninggalkanMu, kerana aku amat mencintaiMu, Tuhanku.”
___________________________________________________________


Mengapa Rabi’ah menolak perkahwinan? Mari kita lihat dialog antara Hasan Al-Basri dengan Rabi’ah :

Hasan : Wahai Rabi’ah. Adakah anda akan berkahwin?

Rabiah : Kahwin itu penting bagi orang yang mempunyai pilihan. Sedangkan saya tidak mempunyai pilihan, kerana saya sudah bernazar dan menetapkan untuk mengabdikan diri sepenuhnya kepada Tuhanku! Saya telah memutuskan untuk hidup di bawah perintah-perintah-Nya.

Hasan : Bagaimana anda boleh mencapai darjat setinggi ini, wahai Rabi’ah? Maksud saya, bagaimana anda boleh sampai ke darjat yang padanya semua tindakan dan kehendakmu telah dipilih Allah bagimu sehingga kemahuanmu sudah hilang dalam memilih? Bagaimana anda memperoleh taraf yang padanya semua kegiatan hidup anda berdasarkan bisikan ilham dan arahan Allah?

Rabi’ah : Semuanya saya peroleh dengan memerangi hawa nafsu dan menaklukkannya.
___________________________________________________________


Pada suatu hari, beberapa orang salih datang berziarah ke rumah Rab’iah. Terjadilah perbualan antara mereka :

Rabi’ah : Mengapa anda menyembah Allah?

Orang salih 1 : Kerana saya takut akan api neraka.

Rabi’ah : Mengapa anda menyembah Allah?

Orang salih 2 : Saya menyembah Alah kerana takut masuk api neraka dan ingin masuk ke dalam syurgaNya.

Rabi’ah : Alangkah buruknya seorang hamba yang menyembah Allah hanya kerana mengharapkan syurga dan ingin menghindar dari api neraka! Sekiranya syurga dan neraka tidak ada, apakah kamu tidak menyembah Allah?

Orang salih 3 : Kalau begitu, tolong jelaskan kepada kami mengapa anda menyembah Allah?

Rabi’ah : Saya menyembahNya adalah keranaNya. Nikmat yang dianugerahkanNya kepada saya sudah cukup untuk menggerakkan hati saya untuk menyembahNya.

___________________________________________________________


Kadang -kadang Rabi’ah menerangkan sikapnya dengan perantaraan rumus atau tamsilan. Pada suatu hari orang melihat Rabi’ah membawa air di tangan sebelah dan api di tangan sebelah lagi. Orang itu pun bertanya :

Si polan : Ke mana engkau Rabi’ah?

Rabi’ah : Saya mahu ke langit, untuk membakar syurga dan memadamkan api neraka, supaya kedua-duanya tidak menjadi sebab manusia menyembah Allah.

Rabi’ah selalu berdoa :

“Tuhanku, jadikanlah neraka itu tempat musuh-musuhMu dan syurga itu tempat para kekasihMu. Adapun aku memadai dengan melihat serta menyaksikan zatMu.”

“Wahai Tuhanku, jika aku menyembahMu kerana takut akan nerakaMu, maka bakarlah aku dengannya. Jika aku menyembahMu kerana mengharapkan syurgaMu, haramkanlah aku memasukinya. Tapi jika aku menyembahMu semata-mata kerana cintaku kepadaMu, maka janganlah kecewakan aku, janganlah tutup diriMu dari pandanganku.”
___________________________________________________________


Rabi’ah memang berhak mendapat gelaran penghulu orang-orang zuhud. Malik bin Dinar pernah melihat Rabi’ah minum dari bejana yang sudah pecah. Tikar yang terbentang di situ sudah usang, sementara yang dijadikannya bantal ialah batu bata. Mari kita lihat dialog antara Malik bin Dinar dengan Rabi’ah :

Malik : Wahai Rabiah, ramai kawan saya yang kaya. Sudikah engkau menerima pemberian mereka?

Rabi’ah: Wahai Malik, ucapanmu itu amat tidak menyenangkan saya dan itu memang salah. Yang memberi rezeki kepada kawan-kawanmu yang kaya itu ialah Allah sebagaimana yang memberi rezekiku juga Dia. Apakah engkau ingin menyatakan bahawa orang-orang kaya sahaja yang beroleh rezeki sementara orang miskin tidak? Kalau Allah mentakdirkan kita begini, maka tugas yang perlu kita lakukan ialah menerimanya dengan pasrah. Lain tidak.
___________________________________________________________


Suatu malam yang sunyi sepi, di kala masyarakat sedang khusyuk tidur, seorang pencuri telah menceroboh masuk ke dalam pondok Rabi’ah. Namun setelah menyelongkar sekeliling berkali-kali, dia tidak menemui sebarang benda berharga kecuali sebuah kendi untuk digunakan berwudhu', itupun telah buruk. Lantas si pencuri tergesa-gesa untuk keluar dari pondok tersebut. Tiba-tiba Rabi'ah menegur si pencuri tersebut :

Rabi’ah : Hei, jangan keluar sebelum kamu mengambil sesuatu dari rumahku ini. Silakan ambil sesuatu.

Pencuri : Tiada apa-apa yang dapat aku ambil dari rumahmu ini.

Rabi’ah : Ambillah itu!(kendi buruk)

Pencuri : Ini hanyalah sebuah kendi buruk yang tidak berharga.

Rabi’ah : Ambil kendi itu dan bawa ke bilik air. Kemudian kamu ambil wudhu' menggunakan kendi itu. Selepas itu solatlah dua rakaat. Dengan demikian, engkau telah mengambil sesuatu yang sangat berharga dari pondok burukku ini.

Mendengar kata-kata itu, si pencuri tadi merasa gementar. Hatinya yang selama ini keras, menjadi lembut seperti terpukau dengan kata-kata Rabi'ah itu. Lantas si pencuri mencapai kendi buruk itu dan dibawa ke bilik air, lalu berwudhu' menggunakannya. Kemudian dia menunaikan solat dua rakaat. Ternyata dia merasakan suatu kemanisan dan kelazatan dalam jiwanya yang tak pernah dirasa sebelum ini. Rabi'ah lantas berdoa :

"Ya Allah, pencuri ini telah menceroboh masuk ke rumahku. Akan tetapi dia tidak menemui sebarang benda berharga untuk dicuri. Kemudian aku suruh dia berdiri dihadapanMu. Oleh itu, janganlah Engkau halang dia
daripada memperolehi nikmat dan rahmatMu."
___________________________________________________________


Rabi’ah merupakan orang yang sabar dan syukur. Suatu hari Rabi’ah menderita penyakit yang teruk. Berlakulah dialog antara Sufyan al- Thawri dengan Rabi’ah :

Sufyan : Berdoalah kepada Allah supaya Dia lekas meringankan penyakitmu.

Rabi’ah : Wahai Sufyan, siapakah yang menurunkan penyakit ini ke atasku?

Sufyan : Allah Taala.

Rabi’ah : Jika Allah berkehendak untuk mencuba saya dengan penyakit ini, untuk apalagi saya berpura-pura tidak tahu kehendakNya?
___________________________________________________________


Rabi’ah mempunyai kawan rapat bernama Hayyunah. Kedua-dua mereka sama-sama mencintai Allah dengan sepenuh hati. Ketika Hayyunah bertandang ke rumah Rabi’ah berlakulah perbualan antara mereka :

Rabi’ah : Tahukah engkau wahai Hayyunah, mengapa Allah menjadikan makhluk?

Hayyunah : Dia menjadikan mereka supaya mereka menyembahNya, sebagaiman firmanNya : “ Tidak Ku jadikan jin dan manusia melainkan untuk menyembahKu” (Al-Zariyat:56).

Rabi’ah : Dia menjadikan mereka supaya mereka mengenalNya. Apabila mereka semua sudah mengenalNya, mereka akan menyembahNya. Apabila mereka sudah menyembahNya, mereka akan mencintaiNya. Apabila mereka sudah mencintaiNya, dibukakanlah bagi mereka rahsia-rahsia kerajaanNya. Apabila mereka sudah menyaksikan rahsia-rahsia kerajaanNya, bertambahlah kenikmatan mereka ketika menyaksikan cahaya kekuasaanNya.

___________________________________________________________


Ramai orang berusaha mencungkil sejauh manakah cinta Rabi’ah kepada Allah :

Si polan : Wahai Rabi’ah, bagaimana pandangan anda tentang cinta?

Rabi’ah : Pencinta dan yang dicintai tidak ada yang mengantarai. Cinta berbicara dengan rindu dan perasaan. Orang yang merasakan cinta itu saja yang dapat mengenal apa itu cinta. Cinta tidak dapat dijelaskan dengan kata-kata, cinta itu sendirilah yang mampu menjelaskan dirinya.
___________________________________________________________


Kekeramatan apakah yang pernah berlaku pada diri Rabi’ah? Keganjilan yang bagaimanakah yang pernah terbit dari dirinya sehingga ia berhak digelar sebagai berpangkat wali? Salah satu keramat Rabi’ah ialah semasa ia sedang bertafakkur bersendirian di padang pasir yang luas, binatang jinak dan binatang liar semuanya berkumpul dengan tenang di sekeliling Rabi’ah. Apabilah Hasan Al-Basri datang ke tempat itu, semua binatang tersebut lari bertempiaran. Hasan Al-Basri sedih lalu bertanya kepada Rabi’ah :

Hasan : Mengapa binatang itu lari dariku tetapi jinak di sampingmu?

Rabi’ah : Apa yang anda makan sebelum datang ke mari?

Hasan : Apa hubungan makanan yang ku makan dengan larinya haiwan dariku? Aku telah memakan bawang yang dimasak dengan lemak daging.

Rabi’ah : Bagaimana haiwan tidak lari darimu, sedangkan engkau telah memakan lemaknya? Kau tahu, sekiranya tubuhmu kurus kering seperti semut, nescaya ulat-ulat tidak berminat melubangi kuburanmu. Jika engkau hanya makan sebiji kurma setiap hari, pastilah jasadmu dalam kubur selamat daripada ulat.

___________________________________________________________


Keramat lain berlaku ketika Rabi’ah sedang duduk di tepi Sungai Furat mengagungkan kekuasaan Allah. Tiba-tiba Hasan Al-Basri mendatanginya lalu melemparkan sejadah ke atas air dan berdiri sambil berkata :

Hasan : Rabi’ah, mari kita solat sunat dua rakaat di atas air ini.

Rabi’ah : Adakah engkau cuba memperlihatkan masalah dunia kepada ahli akhirat? Aku akan tunjukkan kepadamu masalah yang tidak dapat dilakukan orang awam.

Sejurus kemudian Rabi’ah menghamparkan sejadahnya di udara, lalu ia naik ke atasnya seraya berteriak :

Rabi’ah : Wahai Hasan, mari ke sini. Disinilah tempat yang lebih aman dan jauh dari pandangan orang. Apa yang anda lakukan, sebenarnya ikan pun dapat melakukannya. Dan apa yang kulakukan, lalat pun mampu melakukannya. Namun, matlamat kita adalah jauh lebih hebat daripada itu.


1 comment: